11.4.13

Pendahuluan

Assalamualaikum,

Wardah,

Cairo kurasakan sepi tanpa surat-suratmu. Bunyi sahrawi yang mengepuk debu kering itu bagai membawa gemersik suaramu. Tetapi aku tetap sedar bahawa engkau tidak pernah berada di sisi. Semenjak dahulu, kini dan selamanya. Hanya aku bermain ilusi sendiri. Justeru aku datang dengan wajah seorang kawan. Tidak minta dikasihi dan tidak minta dibenci. Hadirku untuk membantu melerai kekusutan. Aku yang memulakan salam pertemuan, selayaknya aku juga yang melafazkan salam perpisahan.

Ingatkah, sewaktu dirimu meletakkan harapan yang tinggi pada hubungan ini. Waktu itu betapa kita yakin bahawa hubungan ini akan utuh dan kukuh. Kita yakin susah senang mampu diharung dengan sabar. Masa itu kita masih muda, kita penuh dengan semangat serta azam. Kita kadang-kadang lupa dengan tribulasi, melihat cabaran dengan mata yang kurang terbuka. Biar jauh atau dekat, biar senang atau susah, kita tetap mahu pastikan agar hubungan ini berjaya.

Dahulu pernah kuungkap "jangan terbang tinggi, kalau jatuh akan parah". Lalu engkau jawab "kalau kita tidak cuba terbang tinggi, sampai bila pun kita takut untuk mencuba. Lagipun kita tetap mendapat nikmat berusaha dan mencuba.

Kalam itu banyak memberi kesan kepada diriku.

Aku terasing jauh dari bumi sendiri, terbang melintasi benua dan akhirnya terdampar di pesisir Mediterraean. Apabila diimbau sejarah kita, terasa seolah suatu kisah yang kita karang bersama adunan rasa jujur dan tulus. Walaupun hubungan kita tidak disuburkan dengan pertemuan. Kesefahaman dan kepercayaan telah menyiram benih-benih kemesraan, kita menjadi pasangan yang toleransi dan saling cuba memahami. Ah seolah-olah sebuah kisah mitos yang tidak wujud, namun ia telah berlaku dalam hidup kita.

Antara kita, ada peristiwa yang menjadi kenangan abadi namun tidak bermaksud kita mengagungkannya. Jadikan ia sekadar memori untuk diri sendiri. Sekadar nostalgia untuk diimbau. Biarlah ia menjadi khazanah yang berharga atau mungkin sahaja hilang dipupus masa. Tuhan yang menentukan.

Benarlah, cinta tidak mampu menenangkan segala. Cinta tidak membawa segala kesempurnaan hadir ke sisi. Tetapi ia mengajar kita menerima sesuatu seadanya. Cinta bukan semestinya bersama. Cinta itu untuk memastikan orang yang dicintai bahagia. Terima kasih kerana pernah menerima diri ini sebagai insan istimewa. Terima kasih ...

Sekian,

Amir,
Cairo, Republic of Egypt ..